KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail patut memberi penjelasan kenapa beliau didakwa di mahkamah berhubung pembelian dua lot tanah dan sebuah banglo 11 tahun lalu.

Katanya, ini kerana kes rasuah beli lot tanah dan banglo oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang ditarik balik oleh Pejabat Peguam Negara kelmarin mempunyai persamaan dengan kes beliau.

Mohamad Khir berkata, pelbagai persepsi timbul dalam kes beliau termasuk ada dakwaan keputusan pendakwaan dipengaruhi pihak tertentu dan agenda politik.

“Pada saya, Tommy Thomas (Peguam Negara) membuat keputusan yang betul kerana jika tidak ada kes, maka tidak perlu teruskan,” katanya kepada BH.

Ditanya sama ada Abdul Gani yang menjadi Peguam Negara ketika itu perlu memberi penjelasan sekarang, Mohamad Khir berkata: “Ada yang mendakwa ketika itu kes berkenaan dipengaruhi pihak tertentu, maka dia (Abdul Gani) yang perlu jelaskan.”

Bagaimanapun, Abdul Gani ketika dihubungi enggan mengulas berhubung perkara berkenaan.

Dr Mohamad Khir disabitkan atas pertuduhan menyalah guna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta pada 2007 untuk dirinya dan isteri.

Pada 23 Disember 2011, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Dr Mohamad Khir bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

Pada 30 Mei 2013, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Dr Mohamad Khir dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Susulan itu, beliau memfailkan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan yang kemudian turut ditolak.

Sementara itu, seorang lagi bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, berkata Peguam Negara berhak membuat keputusan berdasarkan budi bicara untuk menarik balik kes membabitkan pertuduhan rasuah Guan Eng.

“Peguam Negara yang baharu mungkin memilik pandangan yang berlainan tetapi pada amalan biasa jika saksi sudah dipanggil begitu ramai, jarang sekali Pejabat Peguam Negara akan melayan sebarang pencelahan.

“Saya bukan mahu mengkritik sesiapa, cuma sekadar menyatakan hak yang dimiliki pihak terbabit dari segi undang-undang,” katanya sambil menambah keputusan seperti itu masih boleh dirayu oleh mana-mana pihak yang tidak berpuas hati.

Beliau juga berpendapat kes itu mungkin ada persamaan dengan kes Mohamad Khir, tetapi Peguam Negara sekarang mungkin mempunyai pandangan berbeza.-BH