Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum memerintahkan kes itu didengar melalui merit termasuk persoalan berhubung bidang kuasa mahkamah tinggi.

Malanjum dalam keputusannya berkata, kedua-dua belah pihak boleh mengemukakan hujahan berhubung isu bidang kuasa yang boleh diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Katanya, dengan cara itu ia dapat menjimatkan banyak masa.

Semua pihak kemudian berbincang dan menandatangani perintah persetujuan, antara lainnya mereka bersetuju bahawa permohonan semakan kehakiman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi diputuskan berdasarkan merit.

Selain itu, mereka bersetuju bahawa perayu iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jawatankuasa Fatwa Selangor dan kerajaan negeri Selangor bebas untuk membangkitkan sebarang isu termasuk isu bahawa mahkamah tinggi tiada bidang kuasa mendengar permohonan semakan kehakiman berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan persekutuan.

Selanjutnya, mereka bersetuju bahawa pertikaian mengenai isu bidang kuasa akan didengar bersama-sama merit kes dalam semakan kehakiman itu.

Selain itu, Mahkamah Tinggi juga diarah memutuskan berhubung isu yang dikemukakan semua pihak apabila membuat keputusan dalam permohonan semakan berkenaan.

Dalam pada itu, keputusan mahkamah rayuan pada 2 Mac 2017 yang membenarkan permohonan SIS Forum (Malaysia) untuk meneruskan prosiding semakan kehakiman, dengan itu diketepikan.

Kes itu ditetapkan bagi pengurusan di Mahkamah Tinggi pada 2 Oktober ini.

Yang turut bersidang pada prosiding hari ini ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azahar Mohamed, Tan Sri Aziah Ali, Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Pada 24 Jun 2016, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pengasas SIS Forum (Malaysia), Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor bahawa ia pertubuhan menyeleweng.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu selepas mendapati mahkamah sivil tiada bidang kuasa membuat keputusan mengenai isu berkaitan fatwa.

Pada 31 Oktober 2014, SIS Forum (Malaysia) memfailkan permohonan kebenaran itu bagi memohon perintah untuk membatalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang menyatakan organisasi itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang kononnya ‘berpegang dengan fahaman liberalisme dan pluralisme agama’ sebagai ‘sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam’.

SIS Forum (Malaysia) diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, Peguam Datuk Sulaiman Abdullah bertindak bagi pihak Jawatankusa Fatwa Selangor manakala Yusfarizal Yussoff untuk MAIS, serta Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman untuk kerajaan negeri.