SHAH ALAM – Gabungan Umno dan Pas bakal menjadi blok pembangkang yang kuat di negeri ini.

Ketua Pemuda Umno Selangor, Rizam Ismail berkata, kerjasama kedua-dua parti gergasi itu memberi manfaat kepada rakyat.

“Bagi saya kerjasama BN-Pas ini satu perkara yang amat baik. Kalau kita lihat wadah perjuangan Umno dan Pas ini tidak banyak beza.

“Jika kedua-duanya menjadi pembangkang di Selangor, adalah lebih baik Pas dan Umno bekerjasama untuk memastikan orang Melayu dan semua kaum di Selangor ini menjadi satu suara pembangkang yuang kuat dan berwibawa,” katanya kepada Sinar Harian.

Hari ini, Umno mengumumkan untuk memberi laluan kepada Pas di kerusi Dun Seri Setia dan Pas Selangor menyambut baik pengumuman itu.

Menurut Rizam, blok pembangkang yang kuat diperlukan di negeri ini sebagai semak dan imbang kepada kerajaan negeri.

“Hari ini kita lihat kerusi yang dimenangi PH cukup besar di Selangor jadi rakyat harus ingat kita memerlukan pembangkang yang boleh memberi tekanan kepada rakyat.

“Jika tidak kerajaan terlampau selesa dan inilah akibatnya…lepas menang kita lihat janji 100 hari pun tidak berlaku, GST dah 0 peratus pun harga barang masih tidak boleh turun.

“Jadi mereka perlu memberi kepercayaan kepada kami supaya kami boleh menjadi pembangkang yang berwibawa di negeri Selangor dan tekanan kepada kerajaan supaya rakyat tidak tertindas,” katanya.

Kerusi Dun Seri Setia kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia, petang semalam. – Sinar Harian