KUALA LUMPUR, 30 Julai — McDonald’s Malaysia merancang untuk memperluaskan rangkaian McDelivery ke kawasan-kawasan baharu melalui kerjasama dengan perkhidmatan penghantaran makanan, foodpanda.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran Melati Abdul Hai berkata, sebagai rakan niaga terbesar foodpanda, McDonald’s teruja dapat memanfaatkan rangkaian foodpanda yang luas untuk menjangkau lebih ramai pelanggan.

“Kami menyasarkan untuk mencapai 30 peratus daripada bahagian pasaran penghantaran tempatan menjelang 2025, dan juga akan meneroka perkhidmatan penghantaran di Malaysia Timur pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita bagi mengumumkan kerjasama itu di sini hari ini.

McDonald’s telah menyediakan perkhidmatan McDelivery di Malaysia Timur tetapi kawasan liputannya sangat terhad.

Melati ketika bercakap mengenai penambahan cawangan, berkata rangkaian restoran makanan segera itu mahu mempunyai sejumlah 450 restoran menjelang 2025 berbanding hanya 270 sekarang ini. — Bernama