KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Kerajaan bersedia melancarkan projek kereta nasional 3.0 menjelang 2020 sebagaimana dibayangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof, berkata kerajaan sekarang percaya bahawa, langkah itu akan mencergaskan kembali industri automotif negara.

“Kami mencuba untuk mencergaskan dan mengembangkan industri ini memandangkan potensinya yang besar, Selain itu, pengeluar komponen kenderaan juga adalah antara sektor yang memacu perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Konvokesyen Kolej Automotif TOC, di sini, hari ini.

Terdahulu, ketika berucap, Mohd Redzuan berkata, kerajaan memerlukan sokongan bagi industri ini, begitu juga dengan pengetahuan, kemahiran dan graduan berkemahiran untuk menjayakan cita-cita ini.

“Pada masa lalu, kita cuba mengembangkan industri ini dengan mewujudkan kereta kita sendiri, tetapi jelas, kita perlu bekerja seiring dengan masa.

“Ini memberikan banyak cabaran sebagaimana yang kita saksikan hari ini dimana Proton perlu berkompromi,” katanya.

Justeru, kata Mohd Redzuan, kerajaan akan menyempurnakan dan memperbaiki daripada ‘apa dan di mana yang salah (terhadap Proton)’. — Bernama