KUALA LUMPUR, 30 Julai — Kerajaan Pakatan Harapan perlu mengambil langkah tangkas untuk memastikan Khazanah Nasional Bhd, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain, kekal bebas dan dikendalikan secara profesional, dengan piawaian kebertanggungjawaban dan ketelusan tertinggi.

Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berkata langkah ini bertujuan memastikan perletakan jawaran beramai-ramai ahli lembaga pengarah dan eksekutif kanan GLC/GLIC serta badan korporat lain tidak lagi berlaku.

“Kita mesti pastikan kepimpinan syarikat-syarilat ini kekal stabil kerana ini sangat penting untuk ekonomi Malaysia. Kita juga perlu mengiktiraf perubahan positif yang capai oleh begitu banyak GLC atas seliaan kepimpinan Khazanah Nasional ini.

“Matlamat kita adalah reformasi, bukan dendam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya keputusan ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional untuk meletak jawatan supaya peralihan kuasa boleh dijalankan dengan lancar dan teratur di bawah kerajaan baharu, walaupun dikesali, merupakan peluang bagi dana pelaburan strategik tersebut diberikan nafas baharu. — Bernama