KUALA LUMPUR 31 Julai – Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) melancarkan kempen Tabung Pahlawan 2018 secara rasminya hari ini yang bertujuan mengumpul dana bagi membantu bekas anggota tentera yang kurang bernasib baik, balu serta anggota perkhidmatan lain yang memerlukan.

Kutipan kempen tersebut bermula pada hari ini sehingga 31 Disember ini dengan sasaran maksimum berjumlah RM5 juta dan setakat ini telah menerima sumbangan sebanyak RM1.65 juta daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan tujuh syarikat-syarikat tempatan.

Namun begitu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, beliau cukup terkilan kerana hanya segelintir syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang memberikan sumbangan.

“Ini amat mengecewakan kerana kerajaan telah pun menetapkan setiap keuntungan syarikat GLC diperuntukkan sebahagian daripadanya bagi tujuan bantuan kemasyarakatan atau program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Justeru, saya menyeru agar syarikat-syarikat GLC dan syarikat syarikat gergasi yang lain tampil ke hadapan memperuntukkan sedikit dana CSR mereka kepada Tabung Pahlawan kerana peluang perniagaan dan keuntungan yang diperolehi oleh syarikat-syarikat GLC adalah dengan wujudnya keamanan di negara ini hasil daripada perjuangan dan pengorbanan veteran ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penaung Tabung Pahlawan, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Presiden PVATM, Tan Sri Mohd. Anwar Mohd Nor. – UTUSAN ONLINE