MANTAN Rektor Universiti al-Azhar, Mesir, Syeikh Prof Dr Ahmad Umar Hasyim akan mengadakan siri jelajah ceramah agama di negeri Kedah dan Perlis bermula 5 september hingga 9 September depan.

Program Kembara Dakwah itu akan memberi peluang orang ramai memahami isi kandungan lapan kitab yang telah di karang oleh Syeikh Ahmad Umar. Ceramah beliau akan disampaikan dalam bahasa Arab tetapi akan diterjemahkan secara langsung oleh mantan Mufti Kedah, Datuk Baderudin Haji Ahmad.

Syeikh Ahmad Umar  adalah anak kelahiran kampung Bani Amir di Zaqaziq Mesir. Beliau merupakan salah seorang professor hadith dan ulum hadith di Universiti al-Azhar dan  juga merupakan ahli Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah(Akademi Penyelidikan Islam).

Beliau memperoleh ijazah sarjana muda(B.A) pada tahun 1967 dan ijazah sarjana pada tahun 1969 dan seterusnya menerima ijazah doktor falsafah dalam bidang hadis.

Syeikh Prof Dr Ahmad Umar Hasyim kemudian dilantik sebagai professor hadith dan ulum hadith pada tahun 1983. Beliau juga telah dilantik sebagai Dekan Fakulti Usuluddin di Universiti al-Azhar cawangan Zagazig pada tahun 1987. Seterusnya pada tahun 1995, beliau berkhidmat sebagai presiden Universiti Al-Azhar.

Antara kitab karangan beliau  adalah Al-Islam wa bina’ al-syakhsiyyah, Min huda al-sunnah al-nabawiyyah, Al-Syafaah fi dhauk al-kitab wa al-sunnah wa al-rad ‘ala munkariha dan Qisah al-sunnah.-Malaysiakita