KOTA BHARU 14 Ogos – Kenyataan terbuka pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Dr. Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang tidak mengiktiraf perlakuan seks bebas dan songsang merupakan salah satu bentuk dakwah kepada masyarakat.

Bapa Dr Nur Ilyani, Mohamed Nawawi Mohamad Zain berkata, kenyataan itu secara tidak langsung telah memberikan pendidikan kepada masyarakat tentang kesan perlakuan tersebut yang terang-terangan bercanggah dengan agama Islam dan normal sebagai manusia.

Menurutnya, dia dan seluruh ahli keluarga berdiri teguh dibelakang Dr. Nur Ilyani selain bangga dengan keberanian dengan menyatakan perkara benar walaupun agak pahit untuk terima oleh sesetengah pihak.

“Alhamdulillah, usaha dakwah anak saya mula mendapat perhatian daripada semua pihak dan sebagai seorang ayah, Dr. Nur Ilayani berhak untuk menyatakan pandangan kerana ia melibatkan soal agama dan masyarakat.

“Saya juga lihat, masyarakat sudah mulai faham secara beransur-ansur tentang isu berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini, hari ini.

Dr. Nur Ilyani menulis surat secara terbuka kepada aktivis masyarakat Datin Paduka Marina Mahathir yang mendesak agar golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diberikan hak kesamarataan dari sudut hak asasi.

Mohamed Nawawi memberitahu, dia dan keluarga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang berdiri teguh dan menyokong anaknya itu.

Katanya, sokongan itu menjadi azimat buat Dr. Nur Ilyani dan keluarga untuk mengharungi dugaan tersebut. – UTUSAN ONLINE