Penyanyi Ernie Zakri menafikan wujud pertelingkahan dengan syarikat pengurusannya, FMC Music.

Kata Ernie, 25, dia sendiri mengambil keputusan untuk keluar daripada pengurusan terbabit dan bersama Rocketfuel Entertainment selepas lapan tahun.

“Tidak ada sebarang masalah pun antara saya dan syarikat pengurusan terdahulu, tiada juga kena mengena dengan kontroversi membabitkan Haqiem Rusli.

“Saya keluar FMC Music selepas lapan tahun bernaung di bawah syarikat itu dan kontrak saya pun tamat sejak Ogos tahun lalu selepas saya menjuarai Duo Star.

“Selepas mempertimbangkan pelbagai perkara, saya memilih untuk bersama Rocketfuel Entertainment. Better offer!” katanya kepada Gempak.

Ernie mendedahkan dia sudah bernaung di bawah label Rocketfuel Entertainment sejak dua minggu lalu dan kini dilantik sebagai guru vokal untuk rancangan realiti Big Stage.

Terdahulu, wujud pergeseran pendapat antaranya dan isu depresi Haqiem Rusli yang bernaung di bawah label sama.-GEMPAK