KUALA LUMPUR 28 Julai – Kementerian Kesihaan mengesahkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan dari Kampung Pangtray, Daro, Mukah, Sarawak meninggal dunia hari ini disyaki disyaki Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak tersebut mula mengalami demam pada 24 Julai yang lalu dan menunjukkan tanda-tanda seperti ruam di tapak tangan dan kaki serta ulser dalam mulut pada keesokkan harinya.

Jelasnya, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Klinik Kesihatan Daro dan telah didiagnosa sebagai disyaki HFMD.

Kanak-kanak itu kemudiannya telah diberikan rawatan dan ibunya telah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya anaknya masih tidak sembuh.

Pada malam 27 Julai yang lalu, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Daro dalam keadaan tidak stabil dan telah dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

“Walau bagaimanapun, kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia di Hospital Sibu pada pukul 2.08 pagi tadi dengan penyebab kematian adalah disebabkan oleh jangkitan paru-paru yang teruk (severe pneumonia) dengan jangkitan HFMD. Sampel klinikal telah diambil untuk ujian pengesahan bagi mengetahui penyebab kematian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, tambah Noor Hisham, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti tidak membawa anak-anak mereka ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah untuk mengurangkan risiko dijangkiti. – UTUSAN ONLINE