KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mendesak polis menyiasat Datuk A.Kadir Jasin di bawah Akta Hasutan kerana mencetuskan prasangka buruk terhadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Gurun itu turut mendakwa Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri itu menggambarkan Sultan Kedah seorang yang mengambil kesempatan untuk berniaga dan menyalah guna kedudukan baginda.

Jelas Johari, A.Kadir sepatutnya tampil membawa bukti ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Majlis Raja-Raja untuk siasatan dijalankan terhadap seseorang sultan.

“Ini yang membahayakan, saya tidak menyatakan secara total menyokong apa yang dikatakan rakyat terbanyak.

“Anda sepatutnya begitu, tetapi menyebarkan kata-kata insinuasi sebegini dan memberi gambar yang seolah-olah sultan saya seorang yang berniaga dan mengambil kesempatan terhadap kedudukannya,” ujar Johari pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tulisan Tokoh Wartawan Negara itu di blognya bertajuk ‘Rakyat perlu tahu peruntukan belanja buat raja’.

Sebelum ini A Kadir turut mencetuskan kontroversi berhubung artikel tulisannya yang mendedahkan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Menurut Johari antara ungkapan dalam tulisan A.Kadir yang mengandungi unsur penghinaan ialah ‘ia tidak kata, berpanjangan usia di bilik lembaga dan pelihara konglomerat niaga baginda.

“Ayat seterusnya ialah ‘ia tidak kata, raja kita selamat dalam bilik lembaga, atas padang bola, dalam arena politik negara atau mencari bijih dan balak dalam hutan belantara.

“Tuanku Sultan Sallehuddin seorang yang disayangi rakyat, baginda lemah lembut tetapi tegas, bekas Pegawai Regimen Askar Melayu diRaja, pernah memikul senjata berjuang menentang komunis di hutan malah pernah menjadi pegawai pemerintah semasa konfrantasi dengan Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata laporan polis terhadap A.Kadir akan dibuat dan beliau meminta tindakan tegas diambil terhadap sesiapa sahaja yang menghina institusi diraja negara.

A.Kadir ketika dihubungi Astro AWANI hari ini berkata, untuk memahami sama ada penulisan beliau berunsur hasutan  atau tidak, beliau mempelawa membaca blognya di otherthotsblog.blogspot.com.

To understand what I said, whether it is seditious or not … read my blog,” jawab A.Kadir secara ringkas.-Awani