Jus Al Sunnah, Al Sunnah Gold, Penawar tidak selamat

Jus Al Sunnah, Al Sunnah Gold, Penawar tidak selamat

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Kementerian Kesihatan melarang penjualan Jus Al Sunnah, Al Sunnah Gold dan Jus Penawar keluaran syarikat Sri Saga Marketing Sdn. Bhd. kerana mengandungi bahan steroid yang dilarang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hasil analisis mengesahkan produk itu mengandungi `dexamethasone’ dan `prednisolone’ yang dilarang di bawah Akta Makanan 1983.

Katanya, `dexamethasone’ dan `prednisolone’ adalah steroid yang poten dan digunakan untuk rawatan masalah pembengkakkan dan radang yang serius.

“Penggunaan secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula

dalam darah, tekanan darah tinggi, katarak, peningkatan risiko jangkitan

dan sindrom cushing.

“Pesakit yang menghidap kencing manis adalah berisiko tinggi kerana boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya boleh mengakibatkan komplikasi yang serius,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, menurut Noor Hisham, hasil pemantauan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan juga mendapati syarikat tersebut tidak wujud dan telah melanggar Seksyen 16, Akta Makanan 1983.

Sehubungan dengan itu, beliau mengarahkan semua peniaga termasuk dalam talian yang masih mempunyai stok produk tersebut menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi pejabat kesihatan daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.

Katanya, orang awam yang sedang menggunakan produk-produk tersebut disarankan supaya segera mendapatkan nasihat serta rawatan dari

ahli profesional kesihatan.

“Bagaimanapun, pengguna yang telah mengambil produk ini untuk jangka masa yang lama digesa supaya tidak memberhentikan penggunaannya secara mendadak dan turut mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan,” jelas beliau.

Menurut Noor Hisham, merujuk kepada Sekysen 13, Akta Makanan 1983, mana-mana pihak yang menyediakan atau menjual makanan mengandungi bahan

beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan adalah suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...