Oleh Mohd Puad Zarkashi

Itulah perangai Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini. Nampak jelas caca marbanya pentadbiran mereka terutama cara menteri-menterinya bekerja. Kenapa ini berlaku? Jawabnya mudah;mereka yakin rakyat masih mudah dibohongi atau pun ‘pentaksub bodoh’.

Lihat sahaja Dr Maszlee Menteri Pendidikan. Berapa kali flip flop mahu dilakukan. Terbaru, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan dikaji secara holistik sebelum diiktiraf. Itu dia kata semasa beri jawapan di Dewan Rakyat semalam. Sebelum itu hentam keromo buat kenyataan bahawa kerajaan mengiktiraf Sijil UEC.

Sebelumnya juga dia sudah buat banyak kebengongan kepada rakyat. U Turn isu PTPTN, tangguh tahun hadapan pakai kasut hitam, program “MyBrain 15” tidak jadi digantung, dan kontroversi Kementerian Pendidikan akan beri bantuan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Sebelum jadi menteri beliau terlibat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama “Mursyid”. Ia adalah kumpulan pendakwah selebriti yang ramai followers terutamanya di media sosial. Apakah dia terbawa-bawa imej selebriti sebagai pendekatan untuk menjadi menteri populis?

Kesudahanya, apabila janji tidak boleh ditunaikan maka salahkan sahaja kerajaan terdahulu. Hutang yang di tinggalkan oleh kerajaan terdahulu kononnya adalah punca Kerajaan PH hari ini tidak boleh menunaikan janji. Tetapi apakah tindakan Kerajaan PH menerbitkan bon sebanyak RM22 Bilion bukan menambahkan hutang negara?

Dia tuduh program biasiswa “MyBrain 15” adalah program politik. Sedangkan 10,000 orang telah mendapat manfaat sejak 2008 terutama untuk melahirkan 60,000 pemilik Ijazah Doktor Falsah (PhD) menjelang 2023. Tetapi apakah Dr Maszlee tidak bermain politik? Contohnya, sesuka hati beliau mengumumkan bantuan kewangan kepada SMPCwalaupun itu bertentangan dengan dasar kewangan Kementerian Pendidikan?

Dan apakah penamatan 5 orang Pengerusi kepada 5 Universiti Awam di Malaysia juga bukan bermotif politik? Sekarang ini adalah musim memaksa orang meletak jawatan seperti yang berlaku di Khazanah Nasional. Semua itu adalah bermotifkan Politik.

1 Ogos 2018 /19 Zulkaedah 1439