ALOR SETAR-17 Ogos: Berikutan genap 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah namun masih tiada janji yang dilaksanakan, ia mula membakar rasa protes dikalangan rakyat Kedah untuk menyuarakan rasa tertipu dengan manifesto pilihanraya PH itu.

Tempoh 100 hari berkenaan yang genap pada 16 Ogos lalu, sepatutnya telah memberi ‘kualiti hidup’ yang baru kepada rakyat Malaysia setelah mempercayai janji 10 perkara utama yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan PH sebaik sahaja dapat menawan Putrajaya.

Bagaimanapun, tiada satu pun janji manifesto yang tertunai, sebaliknya hanya isu-isu dan manipulasi fakta kewangan negara yang dicanangkan kepada rakyat agar dapat menutup kegagalan Kerajaan PH mengotakan janji-janji manifesto itu.

Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat dan Pemantau Prestasi Kerajaan (Pemantau) Datuk Lokman Noor Adam berkata gelombang   tunjuk perasaan  bermula di Negeri Kedah pada hari ini dan akan diikuti dengan negeri lain iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor pada 18 Ogos.

Dalam siri tunjuk perasaan secara aman di beberapa daerah seluruh negeri Kedah hari ini, rakyat negeri Perdana Menteri itu mula menunjukkan sokongan mereka terhadap kempen anjuran Pemantau tersebut dengan mula hadir mendengar ucapan serta memberi sokongan moral dalam bentuk tepukan dan membunyikan hon kenderaan

Sesi ‘speakers corner’ yang bermula di Kubang Pasu pagi tadi, diteruskan ke Pendang dan kemudiannya berakhir di Menara Alor Setar, bertentangan pusat beli belah Aman Sentral pada jam 4.30 petang.

Tinjauan Malaysiakita ke lokasi berkenaan mendapati tidak kurang 300 peserta hadir dengan membawa sepanduk dan berpakaian baju hitam untuk memberi sokongan kepada perjuangan Pemantau disamping menarik lebih ramai aktivis dari kalangan rakyat negeri utara.

Pengguna jalanraya yang membanjiri Aman Sentral sempena cuti hujung minggu hari ini, turut membunyikan hon bertali arus sebagai tanda bersetuju dengan sepanduk mempersoalkan Janji 100 hari Kerajaan PH tersebut.

Lokman berkata, rakyat perlu bangkit bersama Pemantau menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap penipuan Kerajaan PH itu tanpa perlu rasa takut kerana negara kita adalah demomkrasi yang mana kuasa rakyat adalah paling utama.

Bagaimanapun ucapan Lokman itu terpaksa dipendekkan dan ditamatkan serta merta selepas pihak polis meminta penganjur segera memberhentikan acara itu kira-kira jam 5.40 petang.-Malaysiakita