Apabila genap 100 hari pemerintahan kerajaan baharu Pakatan Harapan pada 16 Ogos lalu, maka ramailah pihak yang mempersoalkan prestasi dan janji kerajaan Tun Mahathir itu.

Ada yang mempersoal janji-janji pilihanraya yang tidak tertunai. Ada yang mempersoal peranan pemimpin-pemimpin DAP yang terlalu ketara memijak kepala pemimpin Melayu di dalam PH.

Ada yang mempertikai penganugerahan projek-projek kerajaan kepada kroni PH. Ada yang mempersoal sentimen dendam kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang tidak berkesudahan.

Macam-macam lagilah, kalau nak dibariskan satu-persatu memang berlambak dan boleh menimbulkan tekanan mental, tambahan pula di era harga barang yang semakin naik sekarang ini.

Walau apa pun jenis-jenis isu yang dibangkitkan dalam 100 hari pentadbiran PH itu, ianya memang sedikit sebanyak tidak dinafikan ada memberi rasa ‘tertipu’ di kalangan rakyat Malaysia yang telah mengundi mereka pada PRU 14 yang lalu.

Ketepikan soal sentimen politik atau sentimen bangsa. Nilailah dari aspek keselesaan hidup sebagai warganegara Malaysia yang sudah semakin serabut ketika ini akibat banyak sangat isu-isu pentadbiran negara yang dipersoalkan hari demi hari.

Namun bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang telah memberi undi kepada PH dalam PRU pada Mei lalu, mereka ini secara kasarnya tidak kisahnpun dengan isu ‘janji manifesto tipu’ atau isu ‘Tun Mahathir tunggangan DAP’ yang dilaungkan oleh golongan pro Umno ketika ini.

Bagi mereka, keputusan mengundi PH pada PRU lalu bukanlah kerana hadap sangat dengan janji-janji yang terdapat dalam Manifesto PH itu. Tetapi paling utama bagi mereka adalah untuk menjatuhkan Barisan Nasional yang sudah 61 tahun memerintah dan pemimpin Melayu Umno sudah bertambah angkuh.

Justeru, tidak hairanlah pada hari ini selepas 100 hari dibawah kerajaan baharu, hanya beberapa kerat sahaja rakyat Malaysia yang turun menyertai protes atau tunjuk perasaan menuntut janji 100 hari PH tersebut.

Bagi mereka, jika ditanya tentang penipuan janji palsu itu, jawapan mereka mudah; ‘ada aku kisah?, yang penting BN tumbang’.

Dzulkifli Baharom-Shah Alam