KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Pasaran hartanah Malaysia dijangka meningkat perlahan-lahan pada tahun akan datang sehingga 2020, kata Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA).

Presidennya Eric Lim Chin Heng dalam satu kenyataan hari ini berkata pasaran hartanah kemungkinan telah mencecah paras terendahnya tahun lepas dengan jumlah urus niaga berada di tahap terendah sejak 2012 sebanyak 311,824.

Beliau berkata pelabur hartanah yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan pasaran hartanah kini mula berhasrat untuk memasuki semula pasaran.

Lim membayangkan pasaran akan terus mengalami “pertumbuhan keyakinan” apabila asas semakin bertambah baik di bawah pentadbiran kerajaan baharu dan menjangkakan kerajaan akan melaksanakan dasar baharu bagi meningkatkan pasaran hartanah.

“Dua pelan utama termasuklah rancangan untuk memperkenalkan dan menguruskan bekalan rumah mampu milik dan belanjawan akan datang akan menjadi ujian bagi kerajaan baharu untuk menangani masalah industri hartanah,” katanya. — Bernama