Oleh Abu Ayub Ansari

Walaupun terdapat beberapa pemimpin UMNO meminta bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO, Mohd. Najib Tun Razak menjarakkan diri daripada parti itu, ia tidak mencerminkan pemikiran ahli-ahli UMNO.

Berdasarkan maklum balas akar umbi termasuk melalui media sosial, ramai yang mahukan Najib terus bersuara membela diri selain menyanggah tohmahan Pakatan Harapan. Lagipun dalam demokrasi, tidak salah untuk Najib pertahankan diri.

Bahkan tidak salah untuk membantu kempen BN pada pilihan raya kecil kerana Najib boleh secara langsung tampil depan rakyat menjawab sendiri isu berkaitan. Belajarlah daripada PKR yang tetap membela Anwar Ibrahim di sebalik didapati bersalahan kes liwat dan salah guna kuasa.

Anwar sendiri berceramah merata pelosok tanpa ada pemimpin PKR persoalkannya. Sedangkan Najib belum disabitkan bersalah oleh mahkamah, bererti beliau perlu dilayan dengan adil apatah lagi oleh partinya. Sama keadaan Lim Guan Eng yang masih kekal dengan jawatan Ketua Menteri dan Menteri Kewangan walaupun telah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.

Sebagai ahli UMNO, saya sedih melihat sikap para pemimpin UMNO tertentu yang nampaknya hanyut dengan serangan persepsi Pakatan Harapan selama ini. Jika begitu keadaannya, ahli-ahli UMNO di seluruh negara tidak perlu bertindak mempertahankan para pemimpin UMNO sekiranya diserang oleh musuh politik.

Biarkan sahaja jika Presiden UMNO, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin kanan seperti Dato Seri Johari Ghani, Dato Seri Khaled Nordin, Dato Seri Nazeri Aziz, Tan Sri Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin bersendirian jika mereka ditohmah, difitnah dan dipalitkan dengan skandal walaupun belum didapati sahih.

Saya sendiri sudah meluat dengan sikap mereka yang tidak mahu memikul sama rasa kebertanggungjawaban walaupun mereka juga sebenarnya adalah beban sehingga BN turut kalah teruk pada PRU-14. Khairy misalnya gagal menarik sokongan orang muda sebaliknya lebih mempopularkan diri, Nazeri antara punca rakyat marah, Khaled gagal pertahankan Johor sebagai kubu utama UMNO disebabkan banyak kelemahan, Annuar muka lama yang tidak disukai rakyat manakala Johari juga ada isu termasuk tuduhan skandal ketika menjadi Pengerusi UDA.

Tanpa mereka sedari pendirian dan sikap seumpama itu hanya mengakibatkan ahli dan penyokong UMNO akan menjarakkan diri daripada barisan kepimpinan parti yang ada. Sepatutnya ini masa para pemimpin UMNO menumpukan perhatian untuk terus mendedahkan kepincangan dan kelemahan kerajaan Pakatan Harapan.

Lebih- lebih lagi sudah di ambang genap 100 hari pemerintahan yang menyaksikn banyak janji tidak dilaksanakan. Halakan meriam anda kepada pemimpin Pakatan Harapan yang melakukan ‘jenayah politik penipuan paling dahsyat’ semasa kempen pilihan raya umum, bukannya Najib yang sudah hilang kuasa.

Itupun jika UMNO di bawah kepimpinan Zahid tahu dan yakin untuk membawa kebangkitan. Tetapi setakat ini prestasi Zahid dan rakan rakannya amat mengecewakan. Hampas.

15 Ogos 2018 / 3 Zulhijjah 1439H