SIAPA DALANG di sebalik sindiket pemerdagangan manusia, dalang pemalsuan MyKad, misteri kehilangan jejak elancong China/India/Pelarian dan sebagainya, serta sindiket pemalsuan Kad UNHCR:

Laman web Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkongsi modus operandi sendiket membawa masuk pelarian secara haram dengan bayaran sebanyak RM15,000 untuk 1 kepala: Kaedah Bayaran -RM2,000 di Bangladesh / Myanmar manakala bakinya apabila berjaya mendarat di Malaysia.

Maka ahli keluarga sedia ada di Malaysia perlu membayar lagi RM13,000 untuk 1 kepala sebelum mereka boleh ambil ahli keluarga yang diseludup masuk. Bayangkan 1 kapal ada 400 orang; maka RM15,000 x 400 = RM6,000,000 adalah satu perniagaan amat menguntungkan.

Jika dalam 1 tahun sindiket dapat membawa masuk 10,000 orang pendatang asing atau pelarian, maka bayaran mereka terima sekitar RM150,000,000 (RM150 juta).

Katakanlah, jika ditolak kos sewa kapal ikan, makan minum atas kapal dan kos diesel dan kos-kos lain yang diandaikan sebagai 30 peratus ( bersamaan RM45 juta),  maka ada baki RM105 juta untung bersih setahun untuk hanya 10,000 kepala sahaja.

Syarikat penerbangan MAS/Malindo/Air Asia pun tidak mampu membuat keuntungan RM105 juta dengan hanya menerbangkan 10,000 penumpang sahaja. MAS yang mengangkut berjuta-juta penumpang setahun pun masih rugi RM791 juta pada tahun 2018. Jika ‘pemerdagangan manusia’ adalah satu perkhidmatan yang halal, sudah tentu MAS mampu membuat keuntungan yang jauh lebih besar.

Jika ‘rangkaian pemerdagangan orang’ ini tidak diputuskan seperti tindakan tegas Angkatan Tentera Malaysia (ATM)baru-baru ini, maka industri ini akan terus berkembang kerana ia adalah penjana wang mudah.

Begitu juga Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun 2019.

Menurut laporan itu sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

“Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.

Adakah ada peranan dalang dan sindiket juga yang terlibat dengan misteri kehilangan daripada ‘radar’ sejumlah 39,806 warganegara India dan 76,258 warganegara China tersebut? Mana mungkin mereka boleh menghilangkan diri begitu sahaja? Ke mana mereka pergi dan berlindung?

Tiadakah penguatkuasaan dan siasatan lanjut oleh Jabatan Imigresen terhadap Ejen Perlancongan yang membawa masuk semua warga China dan India tersebut? Tidak bolehkah wajah-wajah pelancong hilang ini diterbitkan di laman web KDN supaya rakyat boleh bantu kenal pasti dan jejaki sama untuk beri maklumat supaya mereka dapat diberkas dan dihantar pulang.

Adakah sindiket pemalsuan MYKAD berkolaborasi bersama dengan kehilangan pelancong yang bukan sahaja China dan India tetapi Bangladesh dan pelbagai negara lain.

Dilaporkan seorang penolong pengarah Jabatan Pendaftaran Negara ( JPN) Pulau Pinang antara enam individu yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Jenayah, George Town atas 32 pertuduhan terlibat dalam sindiket penjualan MyKad dan sijil kelahiran sah kepada warga asing (China) dan mereka mengaut keuntungan antara RM100,000 hingga RM600,000.

Ini hanyalah ‘tip of the iceberg’ kerana sejauh mana membarahnya pemalsuan Mykad ini masih tidak rakyat ketahui dengan terperinci. Begitu juga dengan Sijil Lahir Malaysia yang boleh dipalsukan.Tahniah kepada Penguatkuasa dan Timbalan Pendakwaraya yang mendakwa kes ini semoga dibongkar lagi kes-kes lain.

Berkenaan pemalsuan Kad UNHCR, adakah sindiket pemalsuan Kad UNHCR berkolaborasi bersama Penyeludup Migran / Pelarian kerana banyak dilaporkan bahawa pelarian memegang kad UNHCR untuk menjadi ‘kebal’ ketika tinggal di Malaysia,  namun membelinya semurah RM30 sahaja daripada sindiket atau rakan senegara mereka. https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/08/598867/lelaki-myanmar-ditahan-jual-kad-unhcr-i-kad-palsu

Kad UNHCR tidak memiliki ciri-ciri keselamatan dan tidak boleh dibuat pemeriksaan ‘on the spot’ ketulenannya seperti MyKad. Sepatutnya pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan kos untuk membiaya penerbitan kad yang lebih tinggi sistem keselamatannya. Sekarang ini, Kad UNHCR boleh dipalsukan di Kedai Fotokopi sahaja.

Dalam keadaan ekonomi negara yang terjejas teruk oleh Covid19 pada ketika ini serta ramai rakyat akan terjejas teruk daripada kehilangan kerja, kerajaan Malaysia perlu telus dan tegas dalam perkara ini  supaya rakyat asing tidak menjadi  liabiliti kepada negara sehingga dilihat mengabaikan pula rakyat sendiri dalam pasaran pekerjaan.

Tanganilah semua ancaman itu secara serius sebagaimana seriusnya Kerajaan malaysia melawan Covid19 dan memaksa semua rakyat ‘stay at home’. Berpolitik siang malam pun tak salah tetapi semua ahli politik perlu bersatu dalam isu keselamatan negara. Janganlah soal ‘national security’ pun mahu putarbelitkan rakyat.

Jika rakyat negara ini boleh dengan mudahnya didenda RM1,000 hanya kerana pergi berdua ke kedai semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ada yang didakwa di mahkamah dan dipenjara , kenapa ketegasan yang sama tidak boleh diambil terhadap pendatang asing dan pelarian?

Mohaji Selamat, Tanjung Karang