KOTA KINABALU, 1 Ogos — Tiada keperluan untuk menutup semua sekolah di seluruh negara bagi mengawal penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negara ini biarpun jumlah kes meningkat, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad hari ini.

Sebaliknya, beliau menasihatkan agar masyarakat, khususnya pengusaha premis taska, tadika dan prasekolah, mengamalkan langkah-langkah pencegahan penyakit itu.

“Statistik kes HFMD telah meningkat iaitu 40,198 kes hari ini berbanding 39,408 kes pada 29 Julai lepas.

Setakat ini, tidak ada keperluan untuk menutup sekolah di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini hari ini.

Dzulkefly ditanya pemberita jika Kementerian Kesihatan akan mengarahkan semua sekolah di seluruh negara ditutup berikutan jumlah kes HFMD yang semakin meningkat. – BERNAMA