SHAH ALAM: Pertubuhan Poligami Harmoni Malaysia (Harmoni) menawarkan khidmat bimbingan dan konsultasi kepada pasangan Islam yang ingin berpoligami berlandaskan undang-undang dan syariat Islam.

Ia termasuklah khidmat menemukan jodoh serta saringan kesihatan bagi pasangan yang ingin berpoligami agar perkahwinan terbabit tidak menimbulkan sebarang masalah kepada bakal suami atau isteri yang dinikahi untuk tujuan poligami samada dua, tiga atau empat isteri.

Presiden Harmoni, Abdul Syaheed Ismail berkata pihaknya sudah mendapat kerjasama dari pelbagai agensi kerajaan termasuk institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi melaksanakan modul pembangunan poligami harmoni agar masyarakat Islam di negara ini tidak menafikan halalnya sunnah poligami tersebut.

“Pelbagai persepsi negatif dilemparkan oleh masyarakat Islam Malaysia khususnya wanita, terhadap suami yang berpoligami. Ia adalah kerana pengaruh media massa dan persekitaran masyarakat yang kerap meletakkan poligami sebagai punca kerosakan institusi perkahwinan seolah-seolah sunnah Nabi Muhammad SAW itu adalah ‘haram’ untuk dituruti oleh umat Islam.

“Memang tidak dinafikan ada keluarga poligami yang tidak dipelihara dengan baik menyebabkan runtuhnya institusi keluarga seperti penceraian atau pengabaian anak-anak. Namun implikasi seperti itu bukan sahaja berlaku kepada perkahwinan poligami, malahan monogami juga banyak masalah sedemikian.

“Oleh itu, Harmoni telah tertubuh dan didaftarkan dengan rasminya pada Mac lalu dengan objektif untuk mendakwah masyarakat agar tidak menafikan impak positif dari perkahwinan poligami seterusnya menyokong golongan isteri-isteri yang hidup bermadu,” katanya

Abdul Syaheed yang berpoligami dengan empat isteri, mengakui terdapat cabaran mental dan sosiologi bagi mengetuai keluarga berpoligami namun semua itu sementara sahaja kerana kemudiannya dikurniakan oleh Allah kebahagian melalui rezeki yang melimpah, anak yang  ramai serta isteri yang berkerjasama.

Beliau menjelaskan perkara itu pada program Seminar Poligami Harmoni anjuran pertubuhan itu di Perpustakaan Awam Selangor dekat sini semalam.

Program berkenaan dihadiri 60 peserta dikalangan pasangan berpoligami dan yang berhasrat berpoligami dari seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan bimbingan untuk berpoligami berlandaskan sunnah Rasulullah SAW dan Undang-undang Syariah Malaysia.

Orang ramai yang berminat menyertai Harmoni, bolehlah hubungi 011-39573431 atau layari www.facebook.com/poligamiharmonimalaysia dan laman web www.poligamiharmoni.org.