KUALA LUMPUR: Selepas meraih gelaran Manusia Paling Lucu di Dunia, dua tahun lalu, Harith Iskander akhirnya merealisasikan impian menubuhkan gelanggang bagi menyemarakkan arena pelawak tunggal atau ‘stand-up comedy’ di Malaysia.

Harith berkata, beliau membuka The Joke Factory di kompleks beli-belah, Publika, di sini, sejak 3 Ogos lalu.

Apa yang menarik, premis itu bukan sekadar ruang penggiat komedi beraksi, malah bakal menjadi hab pendidikan untuk semua lapisan usia daripada golongan korporat hingga kanak-kanak.

“The Joke Factory menjadi babak sejarah baharu kepada saya, sesuatu yang sudah bermain dalam fikiran namun hanya sekarang dapat disempurnakan.

“Paling penting, selain medan perhimpunan peminat lawak tunggal dan penggiatnya, saya mahu premis ini berkembang sebagai hab pendidikan yang menawarkan bimbingan dalam pengucapan khalayak dan korporat selain membina keyakinan diri anak kecil.

“Saya juga mahu berkongsi ilmu dan pengalaman bersama penggiat lawak tunggal lain melalui penganjuran kelas atau bengkel komedi,” katanya kepada BH Online.

Harith berkata, potensi bidang pelawak tunggal di Malaysia cukup besar.

“Sebagai negara berbilang bangsa, kita bertuah mempunyai pelawak tunggal dalam kalangan mereka yang berbahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

“Mereka bakal mengisi slot di The Joke Factory nanti,” katanya.

Berkongsi jadual persembahan di pusat berkenaan, Harith memberitahu, jadual acara sehingga bulan depan sudah penuh termasuk sesi bersama bintang komedi Singapura, Gurmit Singh.

Harith menambah, bagi memeriahkan pembukaan gelanggang yang berkonsep restoran keluarga itu, pengunjung berpeluang mengikuti persembahan secara percuma sehingga Khamis ini.

Antara pelawak yang bakal beraksi termasuk Andrew Netto, Gajen Nad, Nicholas Lim, Keren Bala Devan, Pralash Daniel, Muzakil Xynll, Nizam Jentik-Jentik, Rayza Mukmin dan Mikhail Svrcula.-BH Online