Harga makanan naik 3.5 peratus

Harga makanan naik 3.5 peratus

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Wilayah Persekutuan Ku­ala Lumpur dan Sa­rawak mencatatkan kenaikan lebih tinggi bagi in­deks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol me­lebihi paras indeks nasional (0.7 peratus) bagi Julai 2018 berbanding bulan yang sama tahun sebe­lumnya.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, menerusi statistik Indeks Harga Pengguna (IHP) yang dikeluarkan, Kuala Lumpur merekodkan indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol sebanyak 3.5 peratus manakala Sarawak sebanyak 0.9 peratus.

Katanya, secara keseluruhan, indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol yang menyumbang 29.5 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 0.7 peratus pada Julai 2018 yang disumbangkan oleh subkumpulan makanan Ikan & Makanan Laut (2.4 peratus).

Ujarnya, indeks bagi subkumpulan daging menurun 1.8 peratus pada Julai 2018 berbanding Julai 2017, diikuti oleh subkumpulan gula, jem, madu, coklat & manisan (-1.0 peratus), Sayur-sayuran (-0.9 peratus), Susu & telur (-0.9 peratus) dan Minyak & Lemak (-0.4 peratus).

“Penurunan ini adalah di­sebabkan oleh indeks barangan yang menunjukkan penurunan di kebanyakan negeri seperti tomato (-8.5 peratus), terung (-8.0 peratus), susu segar (-4.5 peratus) tembikai (-3.0 peratus), kobis bulat (-2.5 peratus), ayam (-2.2 peratus) dan minyak masak (-0.8 peratus). Sementara itu, indeks Makanan di Luar Rumah meningkat 2.0 peratus pada Julai 2018,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, IHP bagi bulan Julai 2018 meningkat 0.9 peratus kepada 119.8 berbanding 118.7 pada bulan yang sama tahun lepas.

“Kenaikan indeks keseluruhan disebabkan oleh kenaikan harga bagi kumpulan Pengangkutan (+6.7 peratus), Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (+2.0 peratus), Pendi­dikan (+1.0 peratus), Restoran & Hotel (+1.0 peratus) dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (+0.7 peratus).

“Perbandingan bulan ke bulan, IHP meningkat 0.2 peratus berban­ding bulan Jun 2018. IHP bagi tempoh Ja­nuari-Julai 2018 mencatatkan kenaikan seba­nyak 1.4 peratus berban­ding tempoh yang sama tahun lepas,” kata­nya.-Utusan

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...