PUTRAJAYA 27 Ogos – Kementerian Perdagang­an Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini mengumumkan penurunan harga gula sebanyak 10 sen berkuat kuasa pada 1 September ini.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengumuman berkenaan menjadikan harga baharu gula pasir kasar adalah RM2.85 sekilogram manakala gula pasir halus RM2.95 sekilogram.

Beliau berkata, penurunan itu selari dengan trend harga gula mentah di pasaran dunia yang semakin menurun dan langkah sama turut diambil oleh beberapa negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

“Ketika ini, harga sekilogram gula pasir kasar ialah berharga RM2.95 dan RM3.05 bagi gula pasir halus. Bermula 1 September ini harga diturunkan sebanyak 10 sen sekali gus dapat meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.

“Langkah ini diharapkan dapat mengurangkan jangkaan kesan berangkai ke atas harga makanan dan minuman di pasaran,” katanya da­lam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Menurut Saifuddin Nasution, gula merupakan barang kawalan dan tertakluk di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Gula diletakkan di bawah akta berkenaan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan dijual pada harga terka­wal dan kali terakhir harga kawalan gula bertapis disemak adalah pada 1 Mac tahun lalu.

“Saya juga ingin mengingatkan peniaga bahawa penjualan me­lebihi atau di bawah harga kawalan yang ditetapkan adalah tidak dibenarkan tanpa kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan akan membuat semakan ke atas harga kawalan gula dari semasa ke semasa serta membuat perubahan harga sekiranya perlu.

Sementara itu, katanya, penurun­an harga gula yang diumumkan tidak bermakna keraja­an menyo­kong pe­ngambilan gula berlebihan da­lam kalangan rakyat Malaysia sebalik­nya gaya hidup sihat perlu sentiasa di­utamakan.

Dalam perkembangan lain, Sai­fuddin Nasution me­­ngesahkan empat agensi di bawah kementeriannya telah me­lalui proses penyusunan semula dan dipindahkan ke Kementerian Pembangunan Usahawan.

“Agensi yang dipindahkan ke Kementerian Pembangunan Usahawan adalah Maktab Koperasi Malaysia (MKM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) dan Bank Rakyat.

“Kementerian saya akan beroperasi mengikut struktur sedia ada selepas menerima surat daripada pejabat Perdana Menteri beberapa hari lalu,” katanya.