PUTRAJAYA 24 Sept. – Kerajaan akan melancarkan satu pelan hala tuju bagi menghentikan penggunaan single use plastic atau plastik pakai buang menjelang 2030 pada bulan hadapan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Amal Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeoh Bee Yin berkata, hala tuju baharu itu akan diumumkan sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko (IGEM) di ibu negara.

Beliau berkata, langkah tersebut akan dibuat secara berperingkat menerusi beberapa fasa bermula tahun ini sehingga 2030.

“Hala tuju ini bukan sahaja penting untuk orang ramai tetapi juga kepada pihak industri supaya mereka dapat mengenal pasti dan mengeluarkan produk mesra alam bagi menggantikan penggunaan plastik pakai buang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi town hall bagi membincangkan dan menangani isu plastik pakai buang secara holistik di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, isu penggunaan plastik pakai buang perlu ditangani secara menyeluruh kerana banyak memberikan kesan negatif terutamanya kepada alam sekitar dan sumber marin. – UTUSAN