KUALA LUMPUR, 30 Julai — Rancangan kerajaan untuk menghadkan kemasukan kereta dari luar negara ke dalam pasaran tempatan adalah satu langkah regresif bagi pertumbuhan industri automotif negara, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata perlu ada tahap persaingan yang sihat antara pembuat kereta tempatan dan luar negara, kerana ada model jenama luar yang menggunakan banyak komponen tempatan dan ini memberi peluang perniagaan serta pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Ini merupakan langkah ke belakang. Saya tidak fikir ia sesuai apabila kerajaan mahu menyekat semua kereta selain Proton untuk dijual di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan Majlis Penasihat Kerajaan hari ini.

Katanya, untuk membolehkan industri tempatan maju, kerajaan perlu mewujudkan persekitaran yang kondusif melalui liberalisasi seperti di Thailand dan Indonesia.

“Thailand mengeksport lebih daripada 1.3 juta kereta setahun dan Indonesia lebih 100,000 kenderaan. Apa eksport Malaysia? Hanya 20,000-30,000 kenderaan setahun,” katanya. — Bernama