KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Kerajaan akan meningkatkan nilai had jualan tahunan bagi pendaftaran Cukai Jualan kepada RM500,000 setahun di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berbanding RM100,000 sebelum ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata penambahbaikan kepada nilai had RM500,000 itu turut terpakai bagi pengilang yang membuat aktiviti sub pengilangan yang dahulunya dikenakan nilai had pendaftaran sebanyak RM20,000.

“Ini membolehkan pengilang kecil beroperasi tanpa dikenakan cukai ini,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya kerajaan menjangka hanya sebanyak 27,456 pengilang perlu berdaftar di bawah Cukai Jualan berbanding 32,725 pengilang di bawah Cukai Barang dan Pekhidmatan (GST).

Sehubungan itu, katanya sebahagian besar pengilang akan terkeluar daripada skop Cukai Jualan dan ini akan mengurangkan kos pematuhan dan pentadbiran cukai kepada pengilang yang bersaiz kecil. — Bernama