KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat perkhidmatan perjalanan e-panggilan, Grab Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menggalakkan para pemandu Grab menyertai program Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan) kelolaan KWSP.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata pemandu e-panggilan yang menyertai program itu akan diperuntukkan dengan opsyen simpanan yang terjamin memandangkan KWSP mempunyai rekod prestasi pulangan yang mampan dan melebihi  inflasi, yang sudah terbukti, ini akan meningkatkan nilai simpanan mereka untuk tempoh jangka panjang.

“Dengan menyumbang kepada skim itu, pemandu yang menjadi rakan perkongsian Grab boleh menikmati faedah yang sama sebagai anggota KWSP, seperti dividen tahunan, pelepasan cukai, faedah kematian dan akses kepada perkhidmatan nasihat persaraan kami tanpa sebarang kos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain manfaat serta dividen tahunan, kerajaan akan menyumbang sebanyak 15  peratus dengan jumlah maksimum RM150 setahun ke atas caruman tahunan sehingga 2022 bagi anggota di bawah usia 55.

Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh berkata, menerusi kerjasama dengan KWSP, syarikat itu menyokong inisiatif kerajaan bagi mewujudkan sebuah ekosistem perlindungan sosial yang lebih holistik, bermula dengan memastikan kesejahteraan persaraan ke atas pemandu Grab. — Bernama