Oleh Mohd Puad Zarkashi

NST sekali lagi mendapat keistimewaan dari orang dalam. Tajuk utamanya “Rosmah akan didakwa”. Isunya, bukan kerana pendakwaan tersebut, tetapi kerana laporan eksklusif yang detail tentang apa yang mahu didakwa sebelum suspek didakwa di Mahkamah sebenar.

Mesti ada orang dalam di agensi penguatkuasaan sama ada SPRM, Polis dan pejabat AG yang membocorkannya. Apakah ia disengajakan? Bar Council patut komen sama ada ini amalan yang telus dan adil.

Dengan maklumat detail yang didedahkan sudah tentu Rosmah akan menjadi mangsa Mahkamah Persepsi dan Mahkamah Media. Belum pun didakwa dan disebut di Mahkamah, semua media milik NSTP mendedahkannya terlebih dahulu. NST mendedahkan Rosmah akan didakwa kerana pembelian alat kecantikan muka bernilai lebih RM1 Juta menggunakan wang sumber yang dikaitkan dengan SRC International. Bahkan NST juga memberikan detail kelebihan alat kecantikan itu.

Nampaknya tidak ada sesiapa yang terkecuali daripada tindakan tangan ghaib ini. Semua akan dikejar, dipanggil, disiasat dan di bawa terlebih dahulu ke Mahkamah Media sebelum di dakwa di Mahkamah sebenar.

Kadir Jasin telah menyebut ini dalam blognya. Sudah menjadi SOP pula, bila dutuduh nanti, kertas pertuduhan belum siap dan saksi belum disoal siasat.

Maka bersedialah sesiapa sahaja yang ada hubungan dengan Najib. Peguam beliau iaitu TS Mohammad Shafie Abdullah telah pun didakwa selepas pertemuannya dengan Tun M didedahkan.

Kerajaan PH hari ini amat tertekan dengan Najib yang kini aktif menjawab dan mendedahkan bukti melalui media sosial terhadap apa sahaja isu. Justeru Najib mesti dihabiskan termasuk Peguam, isterinya, anak anaknya dan rakan rakannya.

18 September 2018/8 Muharram 1440