MELAKA, 30 Julai — Kerajaan negeri Melaka menggesa pelabur luar yang ingin menjalankan perniagaan atau melabur di negeri ini memberi keutamaan kepada rakyat tempatan khususnya penduduk Melaka untuk mengisi peluang pekerjaan diwujudkan.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata ia bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat negeri itu dapat diwujudkan selain mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, sekali gus mengukuhkan kedudukan ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri Melaka sentiasa terbuka untuk menerima pelabur, namun yang paling penting mereka datang ke negeri ini bukan hanya membeli tanah dan membuat kilang, tetapi turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan khususnya dalam sektor pekerjaan 3D iaitu ‘dirty, dangerous and difficult’ (kotor, bahaya dan sukar) yang dimonopoli pekerja asing.

“Walaupun berdasarkan rekod Jabatan Tenaga Buruh negeri, pengambilan pekerja asing dalam sektor 3D hanya antara sekitar 30 hingga 35 peratus, kita akan terus memastikan peratusan ini dapat dikurangkan dari tahun ke tahun selaras manifesto Kerajaan Pakatan Harapan.

“Ia untuk memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Komuniti Pengurusan Sisa-Toyota Eco Youth 2018, di sini, hari ini. — Bernama