KUALA LUMPUR: Gara-gara terlalu geram dengan watak Shah yang dibawanya dalam drama, Jangan Benci Cintaku, Saharul Ridzwan menerima mesej penonton yang mengugut mahu ‘membunuhnya’.

Saharul, 29, bagaimanapun, tidak mengambil serius dengan mesej yang diterimanya itu, sebaliknya percaya, ia hanya gurauan penonton yang terbawa-bawa dengan watak lakonannya dalam drama terbabit.

“Drama ini mempunyai jalan cerita yang kuat, membuatkan penonton tertarik untuk mengikutinya. Jika dilihat, saya tidak terlalu agresif mempromosikan drama ini di laman sosial. Alhamdulillah, ia tetap diterima.

“Kejayaan drama ini bukan hanya kerana gandingan pelakon, malah ia juga hasil kerja berpasukan. Alhamdulillah, watak Shah turut meninggalkan impak kepada penonton. Mereka marah dan geram dengan Shah.

“Biarpun drama ini diterima baik, tidak pula saya rasa diri ini kembali popular. Bagi saya, semuanya masih sama sejak Jangan Benci Cintaku diperkatakan,” katanya.

Drama terbitan Suhan Movies yang mencetus fenomena itu menyaksikan Saharul bergandingan dengan Zahirah MacWilson dan Niena Baharun.

Saharul berkata, selepas lima tahun bergelumang dalam dunia lakonan, pandangannya terhadap industri hiburan dan populariti sudah berubah.

“Saya pernah melalui fasa ketika nama mula digilai peminat. Ada yang meminati saya kerana paras rupa dan itu juga antara sebab mengapa mereka mengikuti drama lakonan saya. Tetapi, sekarang, situasi itu tidak lagi sama.

“Saya percaya, mereka menonton drama ini kerana kekuatan jalan ceritanya, bukan sebab saya semata-mata,” katanya mengenai drama yang menghiasi slot Akasia di TV3, jam 7 malam.-BH Online