Oleh Mohd Puad Zarkashi

Orang yang merasakan dirinya paling tidak selamat sekarang ini ialah Tun Mahathir. Beliau dan PPBM hanya ada 13 kerusi Parlimen. Tetapi ingat, senjata utama iaitu “kuasa” masih ditangannya.

Berdasarkan track record, Mahathir tidak pernah gagal menggunakan kuasa untuk berkuasa. Dengan kuasa ditangannya dia mampu bertahan 22 tahun sebagai Perdana Menteri. Dia mampu menumpaskan “Reformasi Anwar”, dia mampu menamatkan riwayat Semangat 46, mengurangkan kuasa Raja dan memecat Ketua Hakim Negara.

Maka apakah game plan terbaru beliau? Dengan kuasa ditangannya beliau akan memecah belahkan parti UMNO dan PKR daripada dalam. Mereka yang menyerah diri kepada Mahathir akan menambahkan kerusi Parlimen PPBM.

Sudah tentu akan ada individu duri dalam daging yang akan digunakan untuk memujuk beberapa MP UMNO menyerah diri. Sebab itu layanan buruk diberikan kepada bekas Perdana Menteri yang dikenakan puluhan dakwaan. Beliau dan Rosmah terpaksa turun naik Pejabat SPRM dan PDRM beberapa kali. Dan jika benar Zahid sebagai Presiden UMNO juga ditahan dan didakwa ia bertujuan untuk menggertak dan menakutkan pemimpin UMNO yang lain.

Mahathir sudah ada Azmin untuk memecahkan PKR menjadi dua. Mahathir memang merasa tidak selamat bila Anwar menang di Port Dickson nanti. Ingatlah, “game plan” Mahathir melalui “kuasa” belum pernah gagal. Kepada semua MP UMNO, tolong “jangan belot”.