KUALA LUMPUR 3 Ogos – Kajian pelaksanaan gaji minimum sewajarnya mengambil tempoh setiap dua tahun, bukannya lima tahun atau sepenggal pentadbiran kerajaan.

Itu merupakan maklum balas Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kepada kenyataan Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran bahawa kenaikan kadar gaji minimum RM1,500 hanya akan dikuatkuasakan dalam tempoh lima tahun.

Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor percaya, pemetaan gaji minimum bagi tempoh lima tahun hanya akan memberi implikasi negatif kepada keharmonian di tempat kerja.

Sehubungan itu, Abdul Halim berpendapat, gaji minimum wajar dikaji setiap dua tahun mengikut peruntukan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan bukannya dirancang berapa jumlahnya dalam satu-satu jangka masa.

“Jika pemetaan lima tahun gaji minimum untuk capai RM1,500, bermakna kenaikannya ialah RM100 setahun.

“Implikasinya bagi gaji pekerja yang tidak terlibat dengan gaji minimum kenaikan tahunan mereka adalah di bawah RM100. Ini sekali gus dikhutiri merosakkan hubungan keharmonian industri dalam setiap tempat kerja,” katanya dalam kenyataan di sini. – UTUSAN ONLINE