Ia adalah satu penipuan yang amat dashyat!

Semasa 22 tahun pemerintahan Mahathir sebagai perdana menteri, beliau tidak pernah membenarkan Akta Gaji Minima digubal walaupun anak-anaknya sendiri adalah antara orang terkaya di Malaysia dan menjadi jutawan.

Apabila Akta Gaji Minima digubal pada tahun 2012, ramai rakyat biasa dan kesatuan sekerja yang gembira tetapi Mahathir sama sekali tidak berpuas hati.

Mahathir 2.0 nampaknya tidak banyak yang telah berubah.

Pada 17 Julai lalu, PSM antara kumpulan yang telah dijemput menyertai mesyuarat tergempar oleh Majlis Gaji Minima Negara (MGMN).

Dalam mesyuarat tersebut, PSM mengusulkan gaji minima RM1500 bermula 1 Julai 2018 dengan tunggakannya dibayar kepada pekerja.

Ini kerana semakan gaji minima dilakukan setiap dua tahun dan kali terakhir ia dibuat adalah pada 1 Julai 2016.

Dalam mesyuarat sama, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta gaji minima RM1800.

MGMN sendiri pada mulanya mencadangkan RM1250 untuk Semenanjung Malaysia, mengikut manifesto Pakatan Harapan, tetapi jika gaji perlu diseragamkan, mereka mencadangkan RM 1170 di seluruh negara.

 

Menariknya, golongan majikan mengusul kenaikan RM50 bermula dari Januari 2019 yang bermaksud RM1050.

Hari ini Mahathir mengumumkan apa yang diusulkan oleh majikan.

Bukankah ini bererti kepentingan pekerja telah dilelong dan dijaja sepenuhnya oleh Tun Mahathir?

Saya fikir adalah tidak masuk akal mempunyai MGMN sekiranya keputusan muktamad dibuat oleh Kabinet.

Maka PSM menyeru anggota MGMN untuk meletakkan saja jawatan mereka sebagai langkah bermaruah, memandangkan hanya suara majikan dan orang kaya sahaja yang ada nilai, dipertimbangkan dan didengar.

MGMN juga telah membuang masa dan duit dan tidak mempunyai lokus untuk menentukan gaji minima. Adalah lebih baik elaun mereka digunakan untuk perkara lain yang lebih berfaedah.

‘Saya tunggu jawapan Yang Berhormat’

Berdasarkan manifesto HARAPAN, ini bermakna dalam tempoh empat tahun akan datang, gaji perlu ditingkatkan kepada RM1500 iaitu peningkatan sebanyak RM450.

Ini akan menimbulkan lebih banyak tekanan kepada bakal pengganti Mahathir kerana beliau merancang untuk bersara dalam masa dua tahun.

Saya pasti Mahathir tidak peduli nasib perdana menteri yang menggantikannya. Apa yang lebih mendukacitakan kenaikan gaji minima semasa zaman BN lebih tinggi iaitu RM100.

HARAPAN telah mengecewakan kaum pekerja di negara kita.
Apakah semua jaguh pekerja dalam HARAPAN akan bersuara atau mereka akan menutup mulut mereka?

Adakah mereka ada keberanian untuk melawan kenyataan perdana menteri yang merupakan satu penghinaan kepada hak dan maruah pekerja?

Adakah mereka akan membuka mulut mereka dan berdiri dengan pekerja atau lebih rela menyembah Mahathir dan rakan-rakannya yang kaya?


OLEH: S ARUTCHELVAN (anggota jawatankuasa pusat PSM)-Malaysiakini