SETIU 7 Ogos -Salah seekor daripada kumpulan gajah liar yang menimbulkan kebimbangan penduduk Kampung Pelong, di sini berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu hari ini dan dipindahkan ke habitat baharu di Tasik Kenyir.

Pengarah Jabatan Perhilitan negeri, Rahmah Ilias berkata, operasi pemindahan gajah jantan seberat tiga tan yang berusia 10 tahun itu, bermula dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dengan dibantu oleh dua gajah denak.

“Seramai 20 anggota termasuk dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang terbabit dalam operasi pemindahan ke dalam kawasan Taman Negara,” katanya kepada pemberita di Kampung Pelong hari ini.

Gajah denak betina, Abot dan Rambai yang mempunyai daya pemujuk bagi menjinakkan gajah liar telah berkhidmat lebih 50 kali dalam operasi di seluruh Semenanjung semenjak dilatih pada tahun 2011.

Menurut Rahmah, pihaknya menerima aduan daripada penduduk di kawasan berkenaan berhubung kumpulan gajah liar yang kelihatan mula berkeliaran dan merosakkan tanaman seperti pisang dan nangka sejak seminggu lalu.

“Kami menerima laporan terdapat kira-kira lapan ekor gajah berkeliaran dalam kawasan pertanian dusun nukleus yang berkeluasan kira-kira 120 hektar yang diusahakan 150 orang peserta.

“Saya harap dengan tertangkapnya gajah berkenaan, kebimbangan penduduk mengenai kehadiran haiwan itu memusnahkan tanaman sejak kebelakangan dapat diredakan,” kata Rahmah.-UTUSAN ONLINE