Fokus kepada menambah baik ladang – SD Plantation

Fokus kepada menambah baik ladang – SD Plantation

KUALA LUMPUR 29 Julai – Sime Darby Plantation Bhd. (SD Plantation) mahu memberi tumpuan kepada usaha menambah baik ladang-ladangnya di dalam dan luar negara pada tahun ini berbanding melabur membangunkan kawasan ladang baharu.

Syarikat ladang kelapa sawit terbesar dunia berdasarkan kawasan ditanam memiliki ladang di Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon dan Liberia.

Naib Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Seri Mohd. Bakke Salleh berkata, pihaknya menjangkakan pengeluaran tandan buah segar (FFB) mencecah 10.2 juta tan metrik pada akhir 2018 berbanding 9.8 juta tan metrik direkodkan pada tahun lalu.

Katanya, ladang di Malaysia menyumbang kira-kira 54.09 peratus daripada keseluruhan FFB.

Jelas beliau, operasi SD Plantation di Liberia seluas 10,400 hektar dijangka dapat menghasilkan pengeluaran FFB yang lebih baik kepada 18 hingga 20 tan untuk setiap hektar berbanding 7.6 tan ketika ini.

“Dengan inisiatif pengurusan air yang baik dan amalan agronomi yang mantap, syarikat yakin dapat meningkatkan hasil pengeluaran.

“Tanaman kami agak muda, apabila ia mencapai tempoh matang di antara sembilan dan 15 tahun, kami akan mendapat yang terbaik daripadanya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, mengenai rancangan syarikat itu untuk menjual sahamnya dalam New Britain Palm Oil Ltd. (NBPOL), Mohd. Bakke berkata, syarikat itu masih berminat untuk mengurangkan pemilikannya dalam NBPOL kepada 60 peratus daripada 100 peratus ketika ini.

Bagaimanapun beliau berkata, syarikat itu perlu memilih pembeli berpotensi kerana ia mahukan rakan kongsi jangka panjang.

Beribu pejabat di Port Moresby, Papua New Guinea, NBPOL adalah pengeluar industri minyak kelapa sawit bersepadu yang berskala besar di Australasia.

Ia meliputi lebih 83,000 hektar ladang kelapa sawit yang ditanam, 10.000 hektar dalam persediaan untuk kelapa sawit, lebih 5,600 hektar untuk tebu, 9,000 hektar padang ragut dan 12 kilang minyak. — Utusan Online

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...