SHAH ALAM 6 Ogos – Sempena bulan kemerdekaan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyeru orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri yang masih elok dan tidak lusuh.

Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, sebagai rakyat Malaysia, mereka seharusnya menunjukkan sikap patriotik terhadap negara.

“Kami memohon orang ramai khususnya di sekitar kawasan pentadbiran MBSA untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan bendera Selangor mulai 16 Ogos sehingga 25 September ini di premis masing-masing.

“Arahan ini meliputi semua bangunan pejabat kerajaan, swasta, kilang, kedai, masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam seperti gereja, kuil, tokong serta kediaman dan sebagainya,” katanya di dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shahrin berkata, MBSA turut menyeru masyarakat di sekitar Shah Alam agar memasang bendera dengan cara yang betul dan tidak menggunakan Jalur Gemilang yang sudah koyak hingga menghilangkan bentuk fizikalnya.

Tambahnya lagi, di samping memasang bendera, pihaknya juga menyeru para pemilik bangunan agar menghias dan mengecat semula bangunan serta menceriakan premis masing-masing.

“Pemasangan bendera Jalur Gemilang dan bendera negeri Selangor diharapkan dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dan menaikkan semangat patriotik kepada orang ramai sempena Hari Kemerdekaan Ke-61 tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE