ECRL dibatalkan atau ditangguh?

ECRL dibatalkan atau ditangguh?

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Status beberapa projek mega yang dibiayai oleh China se­perti Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) masih belum dapat ditentukan lagi.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tidak begitu mudah untuk membuat keputusan terhadap projek-projek tersebut walaupun beliau telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin dari China, namun menegaskan ia sebagai prinsip bergerak ke hadapan.

“Saya berkata jika kita boleh, kita ingin membatalkannya. Jika kita tidak dapat, kita ingin menangguhkan dan melihat cara lain untuk menyelesaikan masalah kewangan kita.

“Ini adalah pilihan, bukan keputusan hitam dan putih. Anda perlu meninggalkan ruang untuk rundingan,” katanya memetik laporan Malaysiakini dalam satu wawancara di Yayasan Kepe­mimpinan Perdana di sini.

Dalam perkembangan sama Dr. Mahathir berkata, lawatan lima hari ke China baru-baru ini adalah bertujuan meyakinkan bahawa Malaysia tidak bermusuhan dengan negara tersebut.

Katanya, walau bagaimanapun Malaysia perlu membekukan projek-projek mega itu kerana kebimbangan mengenai masalah kewangan negara.

“China memahami bahawa tiada seorang pun daripada mereka berkata ‘tidak’ atau apa-apa (yang bermaksud) seperti itu. Saya menjelaskan kepada ketiga-tiga pemimpin iaitu Perdana Menteri, ketua parti serta Presiden.

“Mereka tidak pernah menolak dan mengatakan bahawa ia tidak betul… mereka semua mengakui bahawa kami mempunyai masalah kewangan yang hanya boleh di­selesaikan dengan mengurangkan perbelanjaan,” katanya.

Sebahagian besar projek-projek mega itu akan dikendalikan di bawah dua kementerian iaitu Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Jelasnya, pampasan dua projek mega itu dijangka sa­ngat besar dan perlu dibincangkan dalam rundingan akan datang.

“Pampasan (yang perlu dibayar) disebut dalam perjanjian itu. Saya tidak bincangkannya kerana itu kami buat ketika run­dingan sebenar di peringkat rasmi, kita perlu mengambil langkah itu,” katanya.

Selasa lalu, dalam sidang akhbar di Beijing, China, Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek ECRL dan TSGP.

Kata beliau, kerajaan pada ketika ini tidak mampu untuk membayar kos projek tersebut malah Malaysia tidak memerlukan projek seumpama itu buat masa ini.

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...