ECRL: Dari mana Guan Eng dapat kos RM30 bilion?

ECRL: Dari mana Guan Eng dapat kos RM30 bilion?

29 OGOS: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendapat angka kos RM30 bilion untuk projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Menurut Najib, sememangnya terdapat kajian bahawa kos adalah RM30 bilion namun kajian itu dilakukan pada 2009 dan bagi jajaran berbeza dan adalah bagi jarak 545km; dan ia tidak mencakupi jajaran Gombak ke Pelabuhan Klang.

“Tujuh tahun kemudian apabila ECRL dianugerahkan pada 2016, tukaran matawang kita lemah dan ia melibatkan jajaran dengan jarak 688km termasuk segmen bagi Pelabuhan Klang.

“Saya perlu tanya soalan ini kepada Menteri Kewangan, dari mana beliau mendapat angka itu, berapa kilometer bagi nilai RM30 bilion itu dan unjuran kos itu diperolehi dari tahun bila?

“Adakah kos RM30 bilion yang sering disebut PH ialah berdasarkan laporan tahun 2009 ini yang banyak berbeza dengan projek kos RM55 billion 7 tahun kemudian?,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan PH yang tetap bertegas bahawa kos sebenar projek ECRL adalah RM30 bilion dan mereka menuduh kos RM55 bilion adalah terlalu mahal dan sengaja dinaikkan.

Tambah Ahli Parlimen Pekan itu, Kerajaan PH tidak sepatutnya menggunakan angka kos projek pada tahun 2009 dengan dakwaan yang mereka sendiri tak berupaya membuktikannya dengan sokongan fakta.

Ujarnya lagi, berdasarkan kepada masa, peningkatan kos selain perubahan kepada spesifikasi, projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) juga melonjak dari RM27 bilion kepada RM50 bilion bagi tempoh yang sama termasuk lebuhraya Lebuh Raya Pan Island Link (PIL-1) yang kosnya RM9 bilion untuk 19.5km iaitu RM462 juta/km.

“Jika kos meningkat bermakna rasuah dan salahlaku, biarpun ia adalah kerana masa berbeza dan spesifikasi, adakah ini bermakna projek PTMP juga ada unsur rasuah?

“Pada kos RM55 bilion untuk 688km, kos itu adalah RM79.9 juta bagi setiap kilometer. Manakala pada harga RM30 bilion, ia adalah RM43.6 juta setiap kilometer,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata terdapat syarikat tempatan yang boleh membina ECRL pada kos RM10 bilion sahaja. Bagi jarak 688km, ia bermasuk kos hanya RM14.5 juta bagi setiap kilometer.

“Adakah harga ini realistik jika dibandingkan dengan projek-projek lain? Kos projek berbeza ketara berdasarkan kepada spesifikasi terowong, jambatan dan stesen,” katanya.

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...