JOHOR BAHRU, 28 Julai — Kerajaan Johor komited untuk menyuntik nilai teknologi tinggi dalam segenap aspek di negeri ini yang sekali gus memudahkan urusan dan meningkatkan produktiviti selain menekankan soal kreativiti ekonomi berteknologi digital.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains Dan Teknologi Johor, Tan Hong Pin berkata, kerajaan negeri juga akan memperhebatkan perkhidmatan dagang atas talian (e-dagang) dengan memperluaskannya kepada peringkat industri kecil dan sederhana (IKS).

“Antara agenda kerajaan yang telah dan bakal dijayakan di peringkat persekutuan adalah untuk menjadikan pelayaran Internet pada harga mampu milik dan diiringkan dengan peningkatan kelajuan capaian Internet.

“Untuk itu, kerajaan negeri telah mengambil satu langkah ke hadapan dengan memperkenalkan e-dagang di peringkat IKS kerana kita percaya e-dagang merupakan masa hadapan ekonomi dengan memperlihat kemampuan memperluas jaringan perniagaan dan industri, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan rakyat dan negeri,” katanya.

Tan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Digital Valley (DV) @ Plaza Pelangi, di sini, hari ini. — Bernama