KUALA LUMPUR, 28 Julai — Next Bike Sdn Bhd, pengedar tunggal motosikal Ducati di Malaysia hari ini melancarkan Ducati Scrambler 1100 di Annual Art of Speed yang ke-7 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, model itu boleh didapati dalam dua varian untuk pasaran Malaysia, iaitu Ducati Scrambler 1100 Special dan Ducati Scrambler 1100 Sport.

Datuk Samson Anand George, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Corporation Holdings (Kumpulan Automotif) berkata, Scrambler 1100 bertujuan memenuhi keperluan peminat motosikal yang inginkan keseronokan, gaya dan kebebasan yang menjadi tanda niaga utama Scrambler.

“Penjualan Global Scrambler melonjak melepasi paras 46,000 unit sejak kali pertama diperkenal pada 2015 dan kini ketibaan Ducati Scrambler 1100 di Malaysia melengkapkan barisan Scrambler kami.

“Dengan beberapa titik sentuhan, pengaktifan dan penglibatan pelanggan dalam tempoh tiga tahun yang lalu, kami menjangkakan untuk melihat lebih banyak pergerakan motosikal Scrambler untuk 2018,” katanya. — Bernama