KUALA LUMPUR: Dramatis, Nurin Misha atau nama sebenar, Nur Amisah Abdullah meninggal dunia pada usia 52 tahun akibat sesak nafas, kira-kira jam 9.20 pagi tadi.

Setiausaha Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Nafiah berkata, Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri oleh anaknya di rumah mereka di Jalan Ipoh, di sini.

“Menurut anak arwah, Nurin ditemui tidak sedarkan diri di rumah. Pasukan perubatan yang tiba di kediaman itu kemudian mengesahkan beliau sudah tiada.

“Industri seni kehilangan seorang lagi dramatis berbakat. Sepanjang terbabit dalam dunia lakonan, Allahyarham banyak membawa watak yang memberi impak kepada khalayak,” katanya kepada BH Online.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Kampung Batu Jalan Ipoh untuk urusan mandi dan solat jenazah sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Bangko di Jalan Kuching, di sini.

Allahyarham yang membintangi drama Arafah bersama Nabila Huda yang disiarkan TV3, meninggalkan suami dan lima cahaya mata.

Ramai rakan di arena seni termasuk pengarah, jurusolek artis dan pelakon berkongsi kesedihan mengenai pemergian Nurin melalui laman sosial.-BH Online