KUALA LUMPUR, 13 Ogos –  Malaysia Airlines Bhd menawarkan diskaun tiket sehingga 40 peratus kepada pelanggan ke destinasi pilihan semasa kempen Malaysia Airlines Travelicious Deals (MATD) yang julung kali diadakan dari 14 hingga 20 Ogos.

Ketua Pegawai Hasil Kumpulan Ignatius Ong berkata Malaysia Airlines komited untuk menyediakan tawaran tambang menarik bersama dengan hospitaliti kepada semua pelanggannya.

“MATD menyediakan peluang bagi pengembara untuk meneroka beberapa destinasi terbaik kami, bersama dengan perkhidmatan penerbangan yang selesa, tanpa kos tambahan atau tersembunyi,” katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan itu juga menawarkan pelbagai faedah perjalanan termasuk diskaun bagi pemilihan kerusi atau kebenaran bagasi tambahan dan diskaun sehingga 10 peratus bagi barangan mewah dalam Temptations, laman web membeli belah semasa penerbangan Malaysia Airlines.

Semasa tempoh kempen ini, antara tawaran menarik yang ditawarkan adalah tambang pergi balik terangkum bagi kelas ekonomi daripada serendah RM409 ke Yangon, RM469 ke Surabaya, RM709 ke Hong Kong dan daripada RM769 ke Manila.

Semua tambang tersebut sah bagi perjalanan dari 19 Ogos hingga 30 Jun, 2019.

— BERNAMA