KUALA LUMPUR 5 Sept. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunku, Lim Yi Wei menggesa Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik melepaskan jawatannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang baharu.

Yi Wei yang juga Pengerusi Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Petaling Jaya Utara berkata, sebagai seorang ahli politik yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam Kementerian Pendidikan, memegang pula jawatan tertinggi di sebuah universiti jelas akan mewujudkan konflik kepentingan.

“Sebagai seorang ahli akademik, Maszlee berkelayakan untuk jawatan itu tetapi sebagai ahli politik tertinggi di Kementerian Pendidikan, memegang jawatan tertinggi di sebuah universiti adalah satu konflik kepentingan yang jelas.

“Sama ada peranan presiden itu adalah eksekutif atau bukan eksekutif adalah tidak penting. Kita tidak seharusnya memusnahkan manifesto kita dengan kelemahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, Maszlee perlu segera melepaskan jawatan sebagai Presiden UIAM kerana pelantikan itu bertentangan dengan janji Ahli Parlimen Simpang Renggam tersebut untuk tidak mencampuri urusan universiti. – UTUSAN