Kisah penyanyi veteran Datuk Dahlan Zainuddin dan isteri Datin Effa Rizan yang dijanjikan rumah banglo oleh seorang usahawan muda, menjadi bahan bualan kalangan artis tanah air.

Apatah lagi usahawan itu tidak mengotakan janjinya menyebabkan ramai yang bersimpati kepada nasib pasangan itu yang kini hidup susah. Dahlan yang kini uzur, telah merujuk perkara itu kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) sebagaimana laporan dalam Mstar, semalam.

Wartawan Malaysia Kita difahamkan, ramai artis kini marah dan kecewa dengan apa yang diperlakukan oleh usahawan berkenaan ke atas Dahlan. Mereka menyifatkannya sebagai suatu penghinaan kepada seniman yang telah banyak berjasa kepada negara dan juga golongan seni hiburan tanah air keseluruhannya.

Dijangka laporan polis berhubung kes tersebut akan dibuat dalam masa terdekat. Bukan itu sahaja, usahawan berkenaan juga didakwa gagal melunaskan bayaran penajaan kepada sebuah syarikat bagi penganjuran program Piala Dunia 2018 anjuran sebuah akhbar.

Syarikat tersebut juga dikatakan sudah selesai mendapatkan nasihat bagi mengambil tindakan undang-undang selain membuat laporan polis berkaitan pertuduhan jenayah komersil.

“Jika dia lunaskan segera, kita tidak akan meneruskan tindakan,” kata seorang wakil syarikat itu.

Kini usahawan itu menjadi perhatian selepas mengelak daripada ditemui dan dihubungi oleh pelbagai pihak. Malah status gelaran Datuk dan akademiknya juga mencetuskan keraguan.

Begitu juga kedudukan sebagai Naib Presiden dengan mana-mana subsidiari syarikat petroleum gergasi di dalam dan luar negara seperti didakwanya, turut dipersoalkan.

“Berdasarkan siasatan awal kami, semua tidak benar,” kata satu sumber. Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi daripada usahawan berkenaan gagal.-Malaysiakita