JERANTUT, 28 Julai — Cadangan menukar cuti hujung minggu kepada Jumaat memerlukan kajian menyeluruh sebelum dapat dipertimbangkan, titah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah kajian dan tinjauan itu perlu melibatkan pelbagai pihak termasuk pelajar sekolah serta meliputi pelbagai agama yang akan tertakluk kepada perubahan itu.

“Saya perlukan masa untuk membuat tinjauan sebelum memberikan pendirian kerana kita tidak pernah membincangkan isu cuti Jumaat sebelum ini.

“Kalau melihat pada penerimaan di dewan (persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)) ada yang pro dan ada yang kontra…di situ sahaja juga sudah ada gambarannya,” titah baginda.

Baginda ditemui selepas berkenan berangkat ke Mesyuarat Agung Tahunan Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang Tahun 2018 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini, hari ini. – BERNAMA