KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Pujaan Malaya, Adzrin Adzhar, 33, mengakui, dirinya pernah disangka gila apabila sering kelihatan gembira sepanjang menjalani hukuman penjara, kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, doktor menasihatkan dia supaya menikmati kehidupan dan tidak membiarkan dirinya tertekan bagi mengelak sel kanser rahim tahap dua yang dihidapi sejak 2015 terus merebak.

“Selepas disahkan menghidap kanser, saya menangis di dalam kereta. Ketika itu, kes mahkamah membabitkan saya, kakak dan ayah masih berjalan. Saya masuk penjara bersama penyakit itu.

“Mungkin ramai membayangkan hidup saya tertekan, menderita dan sengsara sepanjang di penjara. Saya bagaimanapun, mendapat semangat daripada keluarga dan doktor yang merawat.

“Dia mengingatkan saya supaya sentiasa gembira. Disebabkan itu, saya selalu ceria hingga terlupa saya sebenarnya dalam tahanan. Saya kerap dibawa berjumpa pakar psikiatrik kerana ada pihak risau saya mengalami masalah mental,” katanya yang kini disahkan bebas daripada penyakit itu.

Adzrin memulakan langkah dalam bidang seni suara pada usia 16 tahun, malah pernah berduet dengan Datuk Fazley Yaakob menerusi single, Tapi Dia.

Ketika lagu popularnya, Pujaan Malaya mendapat perhatian, dia bersama dua anggota keluarganya berdepan kes membabitkan pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram.

Adzrin dan kakaknya, kakaknya, Noradzma serta bapa mereka, Datuk Adzhar Sulaiman dipenjara dan didenda selepas disabitkan bersalah atas tuduhan menerima deposit lebih RM100 juta tanpa lesen dan 360 tuduhan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM59 juta.

Bagaimanapun, Adzrin hanya dipenjara selama lapan bulan dan dibebaskan pada 2016, manakala kakaknya keluar tahun lalu. Ayahnya pula dijangka dibebaskan awal tahun depan.

“Segala yang berlaku, saya anggap sebagai dugaan yang menjadikan kita lebih kuat. Paling penting, reda dan cuba menjadi hamba-Nya yang lebih baik.

“Dari segi kehidupan peribadi, walaupun rahim kanan terpaksa dibuang selepas hamil anak kembar luar rahim pada 2008, saya dan suami dikurniakan bayi kembar tahun lalu,” katanya.

Adzrin yang mendirikan rumah tangga pada 2007 dikurniakan anak kembar perempuan, Hana Jasmin dan Hana Dahlia, yang kini berusia setahun enam bulan.-BH Online