KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Kira-kira 150 syarikat akan mengetengahkan produk, teknologi serta perkhidmatan masing-masing pada Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018 (CEPSI 2018) di sini, bulan depan.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menganjurkan CEPSI 2018 pada 17-22 September ini bagi pihak Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung AESIEAP 2017/2018, Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata separuh daripada pempamer itu merupakan syarikat Malaysia yang terbabit dalam industri bekalan tenaga elektrik.

Syarikat lain pula dari China, Jepun, Singapura, Indonesia, Australia, Perancis, Jerman, India, Ireland, Korea Selatan, Portugal, Taipei China, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Seramai 6,000 pengunjung dijangka menyertai pameran selama tiga hari itu. Kami percaya sebahagian besar daripada 1,500 delegasi persidangan serta 4,500 pengunjung perdagangan juga dapat memanfaatkan pameran itu sebagai platform bagi tujuan padanan perniagaan.

“Persidangan dan pameran itu turut menjadi lokasi terbaik bagi syarikat untuk mengetengahkan promosi jenama, pemasaran produk dan perkhidmatan mereka selain mengenal pasti rakan niaga yang sesuai,” katanya yang juga Ketua Pegawai Korporat TNB.

Bertemakan ‘Reimagining Utility of the Future,’  CEPSI 2018 akan menumpukan senario semasa membabitkan transformasi bekalan elektrik terhadap kemunculan dan penyepaduan perubahan teknologi, peralihan ekonomi, aspek kelestarian, keperluan pengawalseliaan serta meningkatkan jangkaan pelanggan.

Syarikat yang berminat menyertai CEPSI 2018 sebagai pempamer boleh menghubungi penganjur di exhibition@cepsi2018kl.org atau menerusi laman sesawang www.cepsi2018kl.org.

— BERNAMA