Cabaran tunaikan 10 janji 100 hari

Cabaran tunaikan 10 janji 100 hari

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Walaupun 10 Janji 100 Hari Pakatan Harapan (PH) dicurigai pemimpin dan penyokong lawan, namun pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) menjadi taruhan utama kepemimpinan ‘Malaysia Baharu’ bagi membuktikan keazaman politik dalam menunaikan janji mereka.

Menjadi negara tunggal daripada 170 negara pelaksana GST yang memansuhkan cukai tersebut, itu tidak menghalang kerajaan daripada melaksanakan janji utama Buku Harapan  bermula 1 Jun lalu.

Bukan itu sahaja, janji kedua daripada 10 Janji 100 Hari – pengembalian subsidi bagi menstabilkan harga minyak juga melegakan ramai apabila harga RM2.20 seliter untuk petrol RON95 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dikekalkan sehingga akhir tahun.

Menerusi kerajaan di bawah kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama lima tokoh anggota Majlis Penasihat Kerajaan yang diketuai Tun Daim Zainuddin, pelaksanaan kesemua 10 janji itu sentiasa diteliti termasuk yang di luar 100 hari.

Cuma, seperti dijangka, janji menghapuskan tol (di luar janji 100 hari) yang dianggap kemuncak tarikan manifesto PH telah dibayangkan sebagai terlalu sukar dilaksanakan kerana melibatkan pampasan mencecah RM400 bilion.

Bagaimanapun, keseluruhan­nya sembilan daripada 10 Janji 100 Hari PH sudah atau dalam peringkat pelaksanaan.

Misalnya, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dan begitu juga dengan janji kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Namun, bagi janji menghapuskan hutang peneroka Felda, kerajaan memerlukan lebih banyak masa sekurang-kurangnya dua tahun atau bersamaan 630 hari lagi berikutan kekangan kewangan walaupun ramai menaruh harapan setelah undi diberi kepada PH.

Bagi janji menyiasat skandal dan mengkaji projek mega, semua sudah maklum, ada tokoh yang sudah didakwa dan ramai lagi dalam siasatan manakala banyak projek mega diteliti semula dan ada yang diteruskan mengikut kesesuaian kewangan.

Pastinya, kesemua 60 janji dalam 195 muka surat Buku Harapan dinantikan pelaksanaannya dan pada masa sama, biar apa pun cabaran, kerajaan harus mengharunginya apatah lagi dalam era media sosial, ramai pemantau yang sedia mengingatkan.-Utusan

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...