Oleh Ibnu Abidin

BUDAK Telur Australia, William Connolly,17 kini muncul sebagai sensasi tular sedunia selepas beliau bertindak berani menghempas telur hingga pecah di kepala ahli politik anti-Islam, Fraser Anning, senator negeri Queensland Australia pada Sabtu lalu.

Insiden itu berlaku sehari selepas kejadian menyayat hati yang meragut nyawa 50 syuhada dan mencederakan 40 lagi yang sedang bersolat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand.

Fraser yang memang sudah terkenal kerap menghina Islam termasuk Rasulullah SAW, terus mencetuskan kemarahan masyarakat dunia apabila menuduh tragedi di masjid Christchurch itu berpunca dari penghijrahan pelampau-pelampau Islam dari Timur Tengah ke New Zealand.

Tindakan William itu memang tepat pada masanya untuk memberi isyarat bahawa keganasan dan puak pelampau adalah tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana agama. Ia adalah sikap individu.

Walaupun dengan hanya bersenjatakan sebiji telur, namun William kini telah diiktiraf sebagai wira masyarakat dunia yang inginkan keharmonian kaum.

Malahan kutipan dana untuk membiayai kos perbicaraan William telah mencapai RM116,000 dalam masa 24 jam dilancarkan.

Terbukti, untuk berjuang atau menjadi wira mempertahankan Islam, tidak semestinya bersenjatapi atau perlu berada di medan perang di Yaman atau Syria.Tidak juga perlu menjadi seorang yang berkuasa atau berpangkat besar,

Memadai dengan seorang budak bersama sebiji telur mentah sahaja, tetapi berani.

Berbeza dengan di Malaysia, walaupun kerajaan sudah mengumumkan ‘penurunan’ harga telur, namun golongan-golongan yang dianggap sebagai barisan hadapan pelindung agama, bersikap seperti ‘tiada telur’.

Walaupun di dalam masjid atau di mana-mana padang ceramah agama mereka dilihat berkobar-kobar menyeru kepada mempertahankan agama Islam, namun apabila Malaysia diancam dengan isu penghinaan agama Islam, golongan itu diam membisu sahaja.

Apabila terjadinya isu penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan pengedaran kitab Bible di masjid-masjid baru baru ini, yang lantang membantah untuk turun ke jalanan dan membuat laporan polis hanyalah aktivis-aktivis NGO dan pejuang-pejuang politik.

Kemanakah perginya ustaz-ustaz yang menaiki Vellfire dan penerbangan Kelas Perniagaan untuk menghadiri ceramah dengan ribuan hadirin mendengarnya? Adakah hanya hebat dengan ramai pengikut di laman Facebook dan penonton di Youtube sahaja?

Sembang-sembang di koridor masjid sekitar Kuala Lumpur juga mendapati ramai ustaz yang begitu lantang berceramah ketika Kuliah Maghrib, apabila diminta memasukkan sedikit dalam ceramahnya itu unsur mempertahankan agama Islam (berikutan kes penghinaan terhadap Rasulullah SAW), masing-masing menyampaikan maklumbalas ‘tiada telur’ dalam pelbagai reaksi.

Lebih mengejutkan lagi apabila ada mufti dan juga mantan mufti yang menyifatkan hukuman penjara 10 tahun keatas penghina Rasulullah SAW adalah terlalu berat sedangkan ajaran Islam menetapkan hukuman bunuh kepada kesalahan seperti itu.

Nampaknya, fenomena ‘tiada telur’ sudah melanda golongan agamawan di Malaysia. Mungkin kerana mereka bimbang tidak dapat teruskan bayaran bulanan sewa beli Vellfire atau kereta bukan Proton yang telah mereka beli.

Justeru, masih wajar lagikah golongan ustaz-ustaz dan agamawan seperti ini menjadi rujukan umat Islam? Tanya jer…